Apa yang
dimaksudkan dengan berpantang?
Menurut
kamus Dewan Bahasa Edisi ketiga, berpantang bermaksud sesuatu yang
dilarang dilakukan mengikut adat dan kepercayaan. Bagi wanita yang baru
melahirkan anak, mereka dilarang melakukan perkara atau memakan sesuatu
sehingga tamat tempoh berpantang iaitu selama 44 hari. Meskipun terdapat
satu pihak iaitu pakar perubatan yang tidak bersetuju dengan amalan
pantang larang ini, namun ia telah menjadi kepercayaan dan
ikutan masyarakat Melayu sejak turun temurun lagi.
Berpantang
secara alami tidak akan memudaratkan jika tidak diamalkan secara
keterlaluan. Hakikatnya tempoh berpantang itu sendiri adalah proses
pemulihan dan emosi ibu. Seelok-eloknya amalan ini haruslah tidak bertentangan
dengan kaedah rawatan moden. Kebiasaannya tempoh bersalin adalah selama 44
hari. Namun ada pihak yang melanjutkan tempoh berpantang sehingga 100 hari
untuk tidak bersama suami demi kebaikan jangka panjang.
Selain itu,
amalan berpantang ini adalah untuk memastikan badan si ibu benar-benar
pulih dan sihat, memerhatikan kitaran haid yang betul bagi perancangan
keluarga. Manakala rawatan badan luar dan dalam serta pemakanan
perlu dikawal dengan ketat sehingga tamat tempoh berpantang.
Proses
rawatan semasa pantang adalah wajib dilakukan oleh setiap wanita yang
baru melahirkan bayi. Ini kerana rawatan ini perlu dilakukan ekoran
kebanyakan wanita mengalami pelbagai komplikasi semasa proses kelahiran
bayi mereka termasuk menggunakan banyak tenaga terutama semasa menahan
kesakitan, dan ketika meneran bayi keluar, urat saraf menjadi tegang dan
kadang kala terasa kejang. Malah ada juga diantara ibu yang
mengalami kekurangan darah kerana banyak kehilangan darah semasa bersalin.
Rawatan
berpantang ini perlu dilakukan secara konsisten supaya ia dapat
mengembalikan bentuk tubuh badan terutamanya amalan pemakanan harian, ibu
perlu memakan makanan yang berkhasiat dan meminum air sekurang-kurang
sebanyak 3 liter sehari. Semasa proses penyembuhan ini pemakanan menjadi
aspek yang amat penting dalam rawatan pantang bersalin. Pengambilan
suplemen juga dapat membantu ibu untuk menambah kekurangan nutrisi di
dalam badan.
Selain itu,
ibu-ibu perlu mendapatkan rehat yang cukup untuk mengelakkan rasa pening.
Bagi ibu-ibu yang pertama kali merasai pengalaman ini, mereka akan
menghadapi 'baby blues' dimana waktu tidur mereka diganggu pada waktu
malam kerana bayi menyusu dan meragam.
Maka dengan
itu apabila bayi tidur si ibu perlu mencari ruang untuk melelapkan mata
seketika. Ada kemungkinan rasa tertekan dengan suasana baru akan muncul,
ibu-ibu dinasihatkan untuk mengawal perasaan dan memastikan mendapat rehat
yang cukup.
Pemakaian
stokin dan baju panas juga sangat penting untuk mengelakkan angin masuk
ke dalam tubuh dan bentan. Menurut orang-orang tua, sekiranya tidak
memakai stokin dikhuatiri akan tersepak benda-benda keras sekaligus
mengakibatkan tumpah darah.
Amalan
berurut, bertungku, bertangas, berbengkung, mandi herba, pilis dan lain-lain
adalah perlu untuk mempercepatkan pemulihan badan termasuk melancarkan
perjalanan darah, mengecutkan peranakan, mengembalikan kesegaran badan,
mengelak urat saraf dimasuki angin dan lain-lain.
Kepada
ibu-ibu yang baru melahirkan, selamat berpantang.
No comments:
Post a Comment